Saturday, February 20, 2010

::Tanggungjawab Kita Sebagai Ibu Bapa::

Salam,

Media massa melaporkan kekejaman sikap manusia dlm menguruskan kelahiran bayi menggambarkan keadaan semasa kembali ke pemikiran jahiliyah. Perhatikan sedalam-dalam anak mata bayi kecil ini. Adakah anda sanggup atau tergamak untuk membuangnya ke dalam tong sampah atau humban ke dalam longkang atau lebih kejam membakar hidup-hidup di dalama tong sampah?



Berikut adalah rumusan dari beberapa artikel yang saya ringkaskan supaya mudah kita fahami dan perhalusi tentang tanggungjawab kita sebagai bakal ibu & bapa.

Tokoh ulama terkenal, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah rupa negara pada masa hadapan, lihatlah pada generasi hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan mereka yang berakhlak dan berhemah tinggi, maka tentunya negara pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman dan makmur. Tetapi jika keadaannya adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang bakal menimpa.”

Penjagaan dan pembesaran anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Allah menegaskan melalui firman yang bermaksud: “Allah telah mewasiatkan ke atas kamu mengenai anak kamu.” – (Surah an-Nisa, ayat 11)

Abdullah ibnu Abbas berkata: “Kerjakanlah amal ibadat dengan mentaati perintah Allah dan peliharalah diri kamu daripada melakukan perkara menderhakai Allah. Perintahkanlah anak kamu dengan menjunjung titah perintah dan menjauhi segala larangan. Maka yang demikian itu akan menyelamatkan kamu daripada neraka.”

Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina.

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka. (al-Kahfi :46)

Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya. (HR al-Bukhari).

Pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh dan solehah. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang wajib.

Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa mempunyai peranan yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal.

Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang yang diperoleh akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh dan solehah yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping beri pendidikan sempurna mengikut syariat Islam.

Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi:-


i- Azan dan Iqamat


Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan.

p/s: bayi lelaki: Azankan di telinga kanan & bayi perempuan: Iqamatkan di telinga kiri


ii- Tahnik

Tahnik mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW.


iii- Penyusuan

Susu ibu merupakan makanan semula jadi bayi yang membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi.


iv- Memberi Nama

Tanggungjawab ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya.(Hadis Riwayat al-Baihaqi)


v- Bercukur


Menggunting rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari.


vi- Aqiqah

Hukum Aqiqah ialah sunat muakkad (sangat dituntut). Sabda Nabi Muhammad SAW mengenainya yang bermaksud:
Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur rambutnya dan diberi nama. (Hadis Riwayat Ahmad)


vii- Berkhatan


Berkhatan termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi Muhammad SAW mengenainya yang bermaksud:
Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita. (Hadis Riwayat At- Tabrani)

Ketika anak-anak masih kecil berilah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar. Oleh itu ibu bapa hendaklah:-

1) Menanamkan asas-asas keimanan

2)
Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

3) Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun.

4)
Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji.

5) Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang.

6) Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.

7) Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak.

8)
Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak.

9) Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik.

10) Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah.

11)
Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa.

12)
Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya.

1 comment:

ANNAS said...

Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.